5 Mac 2012

6

“Tak ada masalah, pergi cari masalah! Elok-elok boleh naik bas, kena jalan kaki pulak... masalah! Masalah!” omelan Tini masih tahan telinga aku dengar. “Orang lain membantu juga,tapi tidaklah sampai kena ukur jalan macam ni... kan Kak Ana,” sambung Tini. Mulut Tini ini kalau boleh dikunci memang sekarang juga aku pergi cari ibu kunci sesaiz bata jongkong. Aku berjalan paling depan kini. Leteran Tini aku terpaksa tadah sedari tadi.

“Abang Jo ni... dalam sedar ke masa tolong budak tu?” soal Zana pula, tetap kedengaran bersekongkol dengan pendapat Tini. Atau dia sekadar mengusik ku juga.

“Kut-kut mana tahu, masa tu Abang Jo tengah mamai kan,” tokok Tini pula. Panas dalam diri aku jika boleh diukur dengan Celsius dah masuk takat didih dah ni. Cuma sekarang aku cuba tahan agar tak sampai tahap lebur je.

“Rasanya Abang Jo tertidur tak macam dalam panggung tadi kan,” umpat Tini lagi. Kepala aku sarat balik dengan cerita fasal budak perempuan tadi.

Aku bukannya berniat sebaik itu untuk menolongnya. Dan aku sedar, aku melakukan dalam keadaan sedar. Bukan sedang dalam khayalan atau berilusi sendiri seperti mana tanggapan Zana dan Tini tadi. Aku benar-benar pasti. Hanya waktu itu aku jadi begitu kasihan dengannya. Lantaran begnya diragut oleh manusia yang tidak ada perikemanusiaan ketika berjalan sekitar itu untuk ke Stesen Bas, Melaka. Aku jatuh simpati. Dia sebetulnya dalam perjalanan ke Negeri Sembilan. Mengenangkan nasibnya yang tinggal sehelai sepinggan, lalu aku dengan hati yang murah (belum pasti ikhlaslah) menghulurkan duit baki dalam dompet yang tak sampai dua puluh ringgit itu kepadanya. Walhal aku tahu itulah saja jumlah wang yang aku ada untuk kami adik-beradik guna buat makan tengah hari dan tambang balik ke Telok Mas. Alamak, tragis ke nasib aku dan adik-adik sekarang? Pooodah... ini kalau ikut dialog Tamil Kamal Haasan lah.

Pagi tadi, Tini dan Zana satukan duit yang memang mereka simpan semata-mata untuk keluar menonton filem Adik Manja. Dan ditambah dengan duit sedia ada aku, memang lah lebih daripada mencukupi buat kami makan tengah hari dan tambang balik dengan bas. Tadi pun, aku yang beria-ia hendak galas tanggungjawab guna duit itu. Zana dan Tini pun tak membantah langsung. Tapi bila dibebani masalah tak terduga itu, aku sendiri tak boleh nak berfikir dua kali. Ringan pula tangan ini menuruti kehendak hati. Dengan orang tak kenal pulak tu. Itulah yang buatkan Tini dan Zana bising tak habis-habis sampai sekarang.

Dan kini hendak makan tengah hari pun dah mustahil, sementelah hendak pulang ke Telok Mas. Aku ceritakan sebiji-sebiji kisah sebabak itu kepada Tini dan Zana sebab sedar mereka juga harus menanggung akibat ini. Dan sepanjang-panjang berjalan kaki sejak keluar panggung, deria dengar aku dah hampir tepu dengan herdik cela mereka. Itu pun aku dah kemukakan jalan penyelesaian untuk kami pulang dengan selamat ke rumah.

“Lawa sangat ke budak perempuan tu, Abang Jo... sampai tak tinggal seringgit pun isi dompet Abang Jo?” Unsur-unsur membebel Tini masih belum padam. Aku tetap membatu diri.

Langkah panjang-panjang aku atur tadi tiba-tiba terhenti. Aku berpaling ke belakang sebelum menggenggam lengan kedua-dua adik aku. Tubuh kedua-dua mereka terdorong terhuyung-hayang mengikut haluan aku. Sengaja aku cepatkan langkah tika terlihat kereta jenis Nissan Sunny putih menanti di perhentian bas tak berapa jauh dah dari kami berjalan sekarang. Kereta Pakcik Mahmood, ayah Rosli. Pemandunya aku pasti bukan Pakcik Mahmood, tapi abangnya Rosli iaitu Abdul Rashid.

Waktu Rosli keluar dari tempat duduk sebelah pemandu, aku dah tolak dua-dua tubuh adik aku masuk lebih dulu ke dalam kereta. Telinga aku ini rasa lali sungguh dengan bebel leter Tini. Cuma sekarang aku kena tutup cerita ini baik-baik agar jangan sampai ke pengetahuan kedua orang tua ku pula. Dengan duit syiling yang berbaki beberapa sen dalam kocek seluar, aku telefon Rosli... satu-satunya teman aku yang paling dekat dan aku kenali di sekolah dan sekitar rumah. Cumanya Rosli tidaklah sekamceng aku dengan Hisyam.

“Betul ni... kau tak cakap kat emak ayah kau kan?” usul periksa aku dengan Rosli dalam nada berbisik. Rosli menunjukkan isyarat ‘O’ dengan jari telunjuk dan ibu jari membulat bermaksud OK. Aku lega.

“Terima kasih, Li.” Aku menepuk-nepuk belakang bahu Rosli sebelum menyertai Tini dan Zana ke bahagian tempat duduk belakang kereta.

***

“Pasang telinga sini baik-baik,” mula aku sebaik keluar dari kereta di rumah berek keluarga Rosli.

Lagak Tini dan Zana endah tak endah aja mendengar kehendak aku. Tini apatah lagi, sempat duduk bertinggung leka menggosok-gosok Si Tam - kucing jiran Rosli – Kak Mah. Kucing itu makin manja lah pula bila Tini garu-garu kepalanya. Masa aku nak berunding begini, dia pula datang menginding. Grrr, geramnya aku rasa nak terajang aja kucing ni. Aku kuis tangan Tini daripada badan Si Tam. Lengan Tini aku paut agar dia kembali berdiri.

“Dengar sini.” Aku cuba menarik perhatian mereka berdua sebelum melanjutkan sedikit lagi, “... jangan sampai ma dan ayah tahu hal ini. Kalau ma dan ayah tahu hal ini, bila-bila nanti Abang Jo sumpah tak mahu ikut kau orang berdua.” Aku terpaksa tagih sebuah perjanjian dengan mereka berdua. Tini dan Zana saling berpandangan sejurus.

Aku sering ingat dalam kepala pesan ayah tiap kali dia bercerita akan banduan-banduan yang ada dalam penjara ini. Ingatan akhir ayah selalu menyebut, dia tidak mahu suatu hari nanti ada mana-mana anak-anaknya menjadi penghuni tempat ini. Atau pun dia terpaksa menyebat anak-anak sendiri di sini. Nasihat ayah berdasarkan pengalamannya berdepan dengan banduan-banduan dalam penjara ini. Dan pengalaman paling menakutkan ayah menyebut, tiap kali dia terpaksa mengiringi mana-mana banduan ke bilik gantung. Lalu perkara duit sebegini, aku jadi terlalu khuatir biarpun aku bukan mencuri.

“Sedapnya Abang Jo ni, duit kita orang yang Abang Jo pakai tu nak kena diam juga ke? Dah lah beli tiket kelas dua. Tengah hari pun tak makan apa-apa. Abang Jo... ni... ini... lutut ni, macam nak tercabut sendi-sendi lutut ni tau!” omelan Tini segera memangkah lamunan ku. Dia mula merungut semula. Bahasa mata Tini, husy kena aje dengan mulut bertih gorengnya.

Zana mula mencuit lengan Tini. Barangkali Zana pun tidak bersetuju akan tuntutan adiknya atau mungkin juga dia turut terkejut dengan kelancaran mulut Tini. Respons pantas daripada Tini, dia menguis balik jemari kakaknya dari lengannya, dan dia mengilas kedua belah lengan ke tubuh. Mukanya dipalingkan ke arah lain. Mogoklah tu!

“Duit tu... nanti Abang Jo bayar,” perlahan aku cuba jelaskan.

Zana mencelah, “yang Zana punya, tak pe lah Abang Jo,” cubanya untuk berdiplomasi dengan ku. Aku urut dagu sendiri. Usia Zana yang muda setahun daripada ku menjadikan dia lebih matang mengeluarkan perkataan. Tidak seperti mana Tini.

“Bukan kan kami yang beria-ia ajak Abang Jo,” tambah Zana seperti mana aku jangka. Dia berusaha menjernihkan keadaan. Tini masih tidak berkutik. Aku sekadar diam.

Sesudah itu barulah kami bertiga jalan beriringan pulang ke rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan