14 Mac 2012

8

Seremban

Aku bermalas-malas aja atas katil bujang, saat Hisyam datang mempamerkan aksi bercekak pinggangnya di muka pintu. Aku yang menyedari, segera pura-pura memicingkan kedua mata, biar Hisyam sedar aku perlukan privasi ketika ini. Aku perlukan sedikit rehat sebenarnya, sekalipun dah dekat dua jam aku duduk berguling di atas katil ini. Mengiring ke kiri ke kanan dan terlentang tanpa arah tak ubah macam ular sawa.

“Jo, dah-dah lah tu... aku tahulah kau tak tidur!” sergah Hisyam macam tahu-tahu pula apa yang ada dalam kepala aku yang aku tak suka dengan kehadirannya. Aku batukan diri.

“Bangunlah!” Hisyam mula berjalan mendekati ke arah katilku.

“Asal aku masuk je... kau tidur, asal aku masuk aje... kau tidur.” Rungutannya bermula seperti selalu - macam Mak Nenek. Hisyam bercakap seolah-olah betul-betul aku tak tidur. Kalaulah aku benar-benar tidur waktu ini, mahunya kena ketawa habis-habis kat member-member lain.

“Jo... Jo, kau tahu tak... langit kat luar tu dah nak runtuh tau. Cuba kau bangun tengok.” Satu lagi ayat Mak Nenek yang paling aku rasa nak muntah ketawa.

“Hoi!” Hisyam mula menguit pinggang aku. Ah, bahagian yang paling aku tak suka sebab tahu aku boleh melatah.

Aku mengeliat sambil menepis tangan Hisyam. Dengusan suara aku sengaja sengaukan mengubah posisi baring menghadap dinding. Masih pura-pura lena.

Oii... kau tidur betul-betul lah ni, Jo ek?” ugah Hisyam.

Aaa... macam tu lah Syam. Aku kan tengah tidur ni... Pergi berambus jauh-jauh, hantu! Tak kurang-kurang aku mencaci Hisyam dalam hati.

“Aku nak pergi cari makan ni. Kantin asrama belum buka, kau nak makan kat mana nanti? Kalau kau asyik tidur aje, Jo... alamak mati kebulur lah kau.” Cerita Hisyam.

Hah, kantin tak buka lagi? Argh, aku nak makan apa nanti? Soal hati aku dalam diam-diam membungkus bahasa.

“Kau bungkuskan lah untuk aku...” aku masih pura-pura sengaukan suara menagih simpati Hisyam.

Tiba-tiba ketawa Hisyam tersembur kuat.

“Aku ingatkan orang tidur dah tak boleh dengar dah fasal makan... Tapi kau dengar ek Jo. Pooodah! Nak tipu aku!” Hisyam membaling bantal peluk dari celah kelangkang aku tepat ke muka aku.

“Bangun!” jerkahnya pula

Aduh, tak menjadi pula helah aku.

***

Niat dalam hati nak singgah di gerai Makcik Tun aja. Kata Hisyam, sudah lama tak pekena teh tarik kaw Pak Mus. Tapi Makcik Tun tutup pula gerainya hari ini, entah kenapa. Lalu Hisyam ajak aku ke depan lagi. Beritahunya ada beberapa lagi gerai tepi jalan yang kami kurang biasa. Hisyam pun sama belum biasa ke situ. Maklumlah kami berdua pelanggan tetap gerai nasi lemak Makcik Tun sejak dulu sampaikan dah tak tahu nak cuba-cuba makan di gerai lain. Selalunya kami ramai-ramai singgah di gerai Makcik Tun aja. Sebab Si Ishak selalu suka mengusik Hisyam dengan anak dara Makcik Tun tu... si Nora tu. Dan Hisyam pula nak alihkan perhatian kawan-kawan yang lain cuba padankan aku dengan Nora. Aku kenal tidak budak tu, tiba-tiba dia pandai-pandai buat cerita aku syok dengan Nora. Sewel!

Terdapat tiga gerai makan berderetan di hadapan kami kini. Hisyam mula berkira-kira sendirian.

“Kita singgah kedai yang hujung sekali tu lah, Jo. Yang lain ramai orang... tak ada tempat.” Putusnya kepada aku. Aku tak mahu cakap apa-apa. Mengikut sahaja. Jika ikut perkiraan aku, kedai yang ramai orang lah masakan sedap. Sebab itu laris. Berbanding kedai yang tak ada orang. Tapi Hisyam... Oh, jangan tanya... aku sungguh-sungguh tak reti dengannya!

Ada sebuah meja kosong, terus Hisyam pancang untuk kami berdua. Eh, sebuah pulak. Kalau dah tak ramai pelanggan tentulah banyak mejanya. Tapi sebenarnya Hisyam pilih salah satu daripada yang banyak-banyaklah. Aku menyusurinya kemudian. Kemudian duduk diam-diam berhadapan dengan Hisyam tak ubah seperti pasangan kekasih - lelaki dan perempuan. Uwek! Minta jauh anasir perasaan macam tu! Kalau tidak akulah yang pertama akan sumbat Hisyam hidup-hidup dalam sangkar harimau, dekat Zoo Melaka itu.

“Kau pernah datang ke gerai ni?” soal aku sekadar nak timbulkan suasana yang sedikit lengai. Hisyam geleng seraya matanya melingas ke kiri kanan mencari mana-mana budak pelayan datang mengambil pesanan kami.

“Mana pula pelayan ni?” sungutnya.

Hisyam menggamit tangannya ke arah kelibat seorang budak perempuan yang sedang menghidangkan pesanan di sebuah meja tak berapa jauh daripada meja kami berdua. Aku nampak budak itu mengangguk. Lalu kami menunggu.

“Macam mana balik jumpa keluarga kau, Jo? Mereka semua sihat?” mula Hisyam terdengar sedikit keikhlasan dalam tutur patahnya.

Err... sihat. Alhamdulillah. Ma dan ayah aku kirim salam kat kau.” Aku hampir terlupa berkenaan salam ma dan ayah untuk Hisyam. Orang tua aku pun pernah dua tiga kali bersua muka dengan Hisyam waktu mereka datang melawat aku di sini.

Wa’alaikumsalam,” jawab Hisyam.

“Zana... macam mana? Sihat?” lirih aja pertanyaan Hisyam yang satu ini.

Duduk aku jadi tak selesa. Biarpun aku tahu Hisyam dah kenal dengan Zana beberapa kali, tetapi hakikatnya mana boleh dia khususkan pertanyaan seumpama itu buat Zana saja. Aku ada lapan lagi adik-beradik. Kenapa tak tanya khabar Atie? Atau Tini ke? Atau Shah ke? Mereka semua pun Hisyam dah kenal.

“Amboi!... dalam ramai-ramai adik-beradik aku, Zana aja yang kau tanyakan khabar, Syam?” sengaja aku cuba perangkap Hisyam. Tapi muka tembok seperti Hisyam ini manalah nak faham. Sebaliknya Hisyam ketawa terbahak-bahak. Lucu sangatlah soalan aku tu?

“Baik kau cakap!” jari telunjuk aku dah menuding ke arah Hisyam. Hisyam masih ketawa tak henti-henti.

“Tak boleh ke?” Soalan dijawab dengan soalan juga oleh Hisyam.

“Nak minum apa?” satu suara menyisih suasana hingar daripada gelakkan Hisyam. Gelodak perasaan kurang enak aku sendiri fasal Hisyam juga hilang ghaib.

Kami berdua serentak berpaling ke sisi. Budak pelayan yang dilambai oleh Hisyam sekejap tadi sudah berdiri bersebelahan meja kami, telah siap sedia dengan kertas catatan kecil berserta pen di tangannya. Gadis bermini telekung comel warna hijau lumut menggamit sedikit ingatan aku kepada seseorang. Kalau tak silap pandangan mata aku, bukankah budak ini...

“Teh ‘O’ ais ye, dik.” Suara Hisyam berjaya mematahkan separuh ingatan aku terhadap individu ini.

Ah, mungkin pelanduk dua serupa agaknya. Celaru dalam fikiran cuba aku singkirkan cepat-cepat.

“Abang ni?” soalnya buat aku pula.

Tapi suaranya macam sama je? Fikir aku mula keliru balik.

Err... sama aja lah. Teh ‘O’ ais.” Gagap juga suara aku memutuskan. Tangan Si Gadis itu terus mencatatkan sesuatu.

“Makan?” soalnya lagi

“Apa yang ada kat sini ye?” tanya Hisyam untuk lebih maklumat. Aku juga nak tanyakan hal sama sebab belum biasa makan di sini.

“Masakan panas ada... Nasi hidang pun ada,” beritahunya serba ringkas.

Aku dan Hisyam berfikir-fikir sejurus, sambil menoleh senarai menu panjang di papan putih yang tidak putih lagi yang terpapar di hadapan kedai. Dalam ralit-ralit kami berdua memerhatikan senarai menu di depan, tiba-tiba nama aku terasa diserunya.

“Abang Jo?!” suara gadis tadi kedengaran nyaring. Aku pantas menoleh.

“Abang Jo ni kan? Panggung Wayang Cathay, Melaka? Ingat tak?” bertubi-tubi soalannya seperti jumpa dengan saudara maranya dari kampung.

Sela-sela ingatan aku mula menyusun satu demi satu peristiwa minggu lepas. Peristiwa aku bertemu dengan Si Gadis yang sedang berdiri di hadapan aku kini.

“Saya kena ragut bang...” ceritanya pada hari kejadian itu. Wajahnya lecun dengan air mata.

“Ada seorang penunggang motosikal dari arah depan masa saya berjalan kat sini. Dia sambar beg saya... wajahnya pun saya tak sempat lihat. Semuanya pantas... saya tak dapat buat apa-apa.” Dia bercerita panjang dalam sekali sekala menahan sendu. Hujung lengan baju kurungnya dijadikan ganti sapu tangan.

“Saya nak ke stesen bas,.. nak ke Seremban. Nak ke rumah makcik saya,” ceritanya lagi tersekat-sekat.

“Okey-okey, sabar... dalam beg tu ada apa?” Aku cuba menenangkannya. Kerana aku perhatikan ada sebuah lagi beg besar di sebelahnya.

“Dalam beg tu, ada dompet saya... ada wang saku saya. Ada tiket bas saya,” beritahunya penuh dengan rasa kecewa. Aku sudah faham segala-galanya... dia tinggal sehelai sepinggan sekarang ini.

Demikian alkisah tentang kejadian malang yang menimpa gadis di hadapanku ini yang mula aku ingati. Gadis yang menangis di pinggir jalan yang tinggal sehelai sepinggan kerana kena ragut. Lalu aku hulurkan wang saku ku kepadanya sehingga Tini membebel tak habis-habis waktu pulang daripada menonton cerita Adik Manja. Gadis yang ceritanya mahu menaiki bas untuk ke Seremban.

“Ah, iye lah... dah ingat, dah ingat. Awak yang jumpa dekat panggung wayang tu ye? Azean kan?” Aku mengiakan sungguh-sungguh sebagai balasan dengan usahanya mengingati aku. Dan namanya aku sebut sekali sebagai mengesahkan ingatan aku masih kuat.

“Jadi ini...” soalan aku sengaja tidak aku habiskan, mata aku melingas ke segenap isi kedai sekadar menduga kalau-kalau telahan aku tepat.

“Inilah kedai makcik saya, bang.” Bangga dia menyambung pertanyaan aku seperti yang ku tanggap. “Tak tahu lah saya macam mana hari itu kalau tak disebabkan pertolongan Abang Jo,” terangnya lagi bersungguh-sungguh.

Rancaknya perbualan kami sehingga terlupa ada seorang lagi individu yang seperti rusa masuk kampung terkebil-kebil tak berkutik di depanku. Hisyam di hadapan aku, aku rasa sudah tidak ada di sini. Pada andaian aku, Hisyam sudah aku selamkan dalam Selat Melaka. Kemudian aku ikatkan kedua kakinya dengan batu bukit sebesar meja.

Namun dehemnya kemudian... “Ehem... ehem!” menyedarkan aku.... rupa-rupanya Hisyam masih hidup. Allah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan