19 Mac 2012

9

“Oh, jadi inilah kedai emak saudara yang Azean cerita tu ye?” Ramah pula aku mengusulnya. Dia mengangguk mesra.

“Mujurlah ada Abang Jo hari tu... kalau tak tentu saya masih tak sampai ke sini,” beritahunya tak habis-habis memuji akan hal pertolongan aku yang tidak sebesar mana itu. Begitu pun dalam hati aku tetap berbangga kerana ada orang menghargainya. Sekalipun sekembali dari panggung wayang dulu, telinga aku terbakar sampai ke gegendang dengan segala macam bentuk sindiran Tini.

Aku menutup halaman buku teks Ilmu Hisab setelah selesai menyelesaikan soalan terakhir yang diberikan Cikgu Zainuddin siang tadi. Hisyam masih tekun mendengar siaran radio Rangkaian Nasional, mengikuti siaran drama Bangsawan. Setelah sekejap tadi kepalanya bukan main gelek lagi mendengarkan lagu M Daud Kilau – Gila Judi - yang disiarkan oleh Juruhebah Radio. Kenapa lah taste Hisyam ini aku rasa macam orang zaman lepas Perang Jepun. Kalau dia layan Hail Amir ke? Latif Ibrahim ke? Kalau tak Broery Marantika tu, segar sikit kepala otak aku. Ini M Daud Kilau?

“Dah habis gelek, Syam?” tegur aku berpusing badan melihatnya.

Hey, M Daud Kilau pun penyanyi juga tau,” balas Hisyam tanpa menolehkan tubuhnya, sambil khusyuk mendengar drama Bangsawan yang sedang keudara sekarang.

Laa... bila pula aku tanya, M Daud Kilau tu penyanyi ke tidak. Aku tanya kau dah habis gelek ke belum. Kau ni... dahsyat sungguh telepati.”

Hisyam berubah posisi menghadap aku, “soalan kau tu... aku tahu lah, kau nak mengutuk aku kan. Sebab kau takkan pernah cakap... husy, sedap lah lagu ni, Syam. Siapa nyanyi?” kulit muka aku rasa panas. Oh, cekap betul Hisyam meneka.

“Kalau idak pun kau akan kutuk aku macam ni...” Hisyam bangun berdiri daripada kerusinya, “Lagu macam zaman lepas Perang Jepun ini pun kau dengar, Syam?” sambil bercekak kedua pinggangnya, dia mengayakan aksi Siti Tanjung Perak.

Aku tak dapat tahan ketawa lagi, terus aku lepaskan ilai seolah-olah lupa dunia. Inilah yang menyebabkan aku suka sangat-sangat dengan Hisyam biarpun patah perkataannya tepat-tepat kena kat batang hidung sendiri. Dia mampu buat aku ketawa sepanjang masa. Hilang sekejap stres memikirkan jalan pengiraan sepuluh soalan Ilmu Hisab yang diberikan Cikgu Zainuddin siang tadi.

“Aku tak salah kan, Jo?” soal Hisyam tetap mahu menegakkan apa yang dia katakan tadi. Aku mengangguk-angguk setuju. Barulah Hisyam duduk semula di kerusinya.

Suasana kembali sunyi, hanya suara nyaring Jebat dari drama radio Bangsawan kedengaran memekik saat Jebat mengamuk untuk menuntut bela atas kematian Tuah. Hisyam terus dalam konsentrasinya.

Aku menyusun segala buku pelajaran untuk esok berpandukan jadual yang tertampal di dinding. Mana-mana yang tidak ada dari dalam beg, aku keluarkan dan letakkan ke atas meja. Kemudian aku menyusup ke bawah meja membawa keluar alatan geometri untuk mata pelajaran Ilmu Hisab esok. Aku buka bekasnya, tapi jangka sudut aku tiada di dalamnya. Dua hari lepas aku ada mengadu hal ini kepada Hisyam dan rakan-rakan yang lain bahawa jangka sudut aku masih tidak dijumpai. Walhal aku tidak pernah letak merata-rata pun benda itu. Selesai kelas, terus aku simpannya ke dalam bekas tin ini. Tapi tak tahu lah siapa pula yang pandai-pandai ambil tanpa meminta izin daripada aku. Duduk ramai-ramai macam ni, kadangkala sakit hati juga aku. Selalu aja ada yang tak reti nak minta kalau nak guna apa-apa yang bukan hak sendiri. Seperti juga syampu dan sabun aku kat tandas itu, belum sampai seminggu, botol syampu aku dah tinggal botol saja. Bila aku bertanya macam-macam versi tuduh menuduh telinga aku tangkap.

“Syam, pinjamkan aku jangka sudut kau... yang aku punya tak jumpa lagi lah.” Aku terpaksa meminta pertolongan daripada Hisyam.

Hisyam mengambil kotak alatan geometrinya lalu menghulurkan kepada aku.

“Si Ishak tak kasi tahu kau ke?” tanya Hisyam kala menghulurkan kotak geometrinya ke tangan aku.

“Kasi tahu apa?” Tercenggang juga aku.

“Jangka sudut kau tu dia ambil... maaf, kalau beradab sikit bahasa, pinjam lah,” cerita Hisyam.

“Pinjam apanya kalau aku sendiri tak tahu,” celahku lebih pantas. Hisyam senyum sambil mengangguk-angguk.

“Kau kena hati-hatilah sikit Jo dengan Ishak tu,” nasihat Hisyam mula bangun berdiri selesai memperlahankan sikit volume radio. Drama Bangsawan bertajuk Jebat itu sudah berakhir. Pinggangnya dipusing ke kiri kanan melepaskan lenguh duduk lama di kerusi. Aku memerhatikan setiap gerakan ‘exercise luar padang’ yang dilakukan Hisyam. Aku ingin mendengar ceritanya tentang Ishak lebih panjang.

“Apa kau tengok-tengok aku ni?” sergahnya tanpa aku sedar ketika sedang ralit memberi perhatian kepadanya.

“Aku nak dengar lah apa lagi cerita selanjutnya yang kau nak bagi tahu fasal Ishak,” jawab aku rasa sedikit geram.

“Oooh, ingatkan kau nak memuji tubuh aku yang segak ni ke? Rambut aku ke? Atau rupa aku yang handsome ni?” Hisyam membetulkan rambut lurusnya yang nampak tidak terurus sejak tadi. Dia melepaskan ketawa kuat.

“Syam... Syam, tolong bawa baldi tu... Cepat! Cepat!” Aku pura-pura menjerit. Hisyam masih rancak ketawa.

“Aku nak termuntah ni! Uwweek!!”

Hisyam segera menarik leher aku ke dadanya kala aku sedang mengayakan aksi hendak termuntah di kerusi. Buku limanya diasah-asah ke atas kepala aku. Ketawanya masih tidak reda. Lalu nak melepaskan diri aku siku perutnya. Badannya akhirnya berjarak dari aku.

Aku menarik sedikit nafas.

“Kau janganlah nak bercakap fasal benda-benda alergi macam tu!” kata-kata aku sengaja aku selang-seli dengan nafas tercungap-cungap. Ketawa Hisyam semakin giat.

“Cepat habiskan cerita kau fasal Ishak tadi!” tekan aku kepadanya.

“Kau nak minum kopi tak?” soalan lain pula diajukan Hisyam waktu hati aku sudah berkobar-kobar hendak dengar perkara tak habis yang beria-ia dia nak cerita.

“Syam, kau janganlah buat aku macam ni!” rayu aku.

“Oh, terlupa... harap maaf, siaran ni terpaksa dihentikan seketika untuk iklan.” Hisyam belum habis lagi mahu bersenda dengan aku.

Keengganan Hisyam melanjutkan perihal Ishak sudah mampu aku baca. Hisyam bukan seseorang yang suka menjaga tepi kain orang. Dia bukan seorang yang suka mengumpat di belakang orang. Itu bukan Hisyam yang aku kenal kalau dia seberani itu nak mengata akan peribadi Ishak. Biasa-biasanya Hisyam akan hanya menasihati aku. Seperti mula-mula tadi lah dia mengingati aku...

Kau kena hati-hatilah sikit Jo dengan Ishak tu.”

“Mananya serbuk kopi Melaka yang kau bawa?” tanya Hisyam melenyapkan segala prasangka aku. Hisyam bercekak pinggang dengan sebiji kole besar.

“Dalam kotak tu lagi lah Syam.” Muncung bibir aku menunjukkan kotak perang yang masih berselotip .

Belum habis pun aku menerangkan hal kotak, Hisyam dah pun bersila elok di hadapan kotak tersebut. Tangannya culas sahaja membuka selotip tanpa aku suruh-suruh pun. Tak ubah seperti Tok Selampit nak mula sandiwara labunnya. Hisyam!... Hisyam!

“Kau ni apalah... mak ayah susah payah kirim benda-benda ni, macam tak sudi pula. Bila-bila kasi tahu aja lah kat Zana tu, kirim aja kat Abang Syam ni apa-apa benda yang Abang Jo tak mahu,” seloroh Hisyam seolah-olah mengajar aku. Mukanya terkulat-kulat.

Dalam gelak-gelak hati aku menangkap bahasa Hisyam terselit juga rasa geram. Ini bukan kali pertama lagi Hisyam menyebut nama adik aku. Aku cuma khuatir kalau-kalau Hisyam benar-benar sungguh dengan ayat-ayatnya itu. Aku lah orang yang paling tidak sanggup. Tidak sanggup jika-jika kemudian hari Hisyam akan memanggil namaku dengan pangkal ‘Abang’ seperti mana Zana memanggil aku. Mahu nanti aku muntah hijau tiap-tiap hari.

“Tengok ni... bekas kek ni pun kau tak buka lagi, Jo?” ceridau Hisyam tetap tak selesai lagi.

“Kau tolonglah keluarkan mana-mana yang boleh makan tu. Macamlah aku tak kenal kau Syam. Membebel-bebel kat aku... walhal perut kau tu dah kempunan tak boleh nak cakap dah kan?” serkap aku kepada Hisyam. Hisyam ketawa.

“Syam, serbuk kopi tu kau jangan makan pula ye... yang tu kena tambah dalam air dulu. Kole tu tak cukup satu... nah, ambil kole aku ni. Buat kat aku satu.” Aku bangun meletakkan kole aku bersebelahan kole Hisyam. Hisyam nampak tercenggang. Aku pantas memulas tombol pintu bilik untuk keluar.

“Weh!..” marah Hisyam tapi tak sempat habis.

“Serbuk kopi tu dah banyak... buat jangan jadi macam teh pula. Kali ni biar jadi air kopi lah Syam ye,” kompelin aku dalam niat bergurau sebelum menutup rapat pintu.

Hahaha... kesian Hisyam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan