19 Februari 2012

1

1980 - Seremban

Aku baring ‘telanjang’ (tanpa selimut) sewaktu Hisyam mengetuk pintu kamar. Siap dengan paluan berentak lagi dialunkan ke daun pintu. Sepertinya pintu kamar ini permukaan belulang lembu. Enak aja dia membuat irama Mission Impossible diikuti irama bibirnya. Aku tahulah dia minat sangat dengan Peter Graves - hero mat salih berambut putih itu. Tetapi kenapa mesti di pintu kamar, dia lepaskan rasanya? Sial!

Woi, bangunlah... tak cukup lagi ke tidur?” sergahnya. Aku masih pekakkan telinga. Bukannya aku ini tuli kalau dia gunakan suara yang perlahan-lahan. Bilik ini aku tak pernah jadikan sebagai taman asuhan kanak-kanak. Atau bilik latihan vocal buat artis-artis menguji suara untuk suara Hisyam bertingkah dengan bising serupa itu.

“Kau tak mau bangun ye?” Aku dengar dia mula memetik suis di meja belajar aku. Aku tetap biarkan.

“Kau memang tak mahu bangun ni, Jo?” Kali kedua dia berkata seolah-olah mengugut. Aku masih buat-buat mati.

Planet Earth nyanyian Duran Duran mula menggegar seluruh ruang bilik. Lagu daripada kaset yang tak habis semalam masih dalam radio itu. Aku segera menarik bantal peluk menutup seluruh kepala. Namun Hisyam masih setia menanti di sisi meja aku. Volume radio sedikit demi sedikit dinaikkannya. Sehingga kalau aku menjerit saat ini sudah tentu tenggelam dengan muzik itu. Celaka, kau Hisyam! Sumpah ku dalam hati.

“IYE... Aku bangun ni, HANTU!!!” Aku memekik kuat, menyaingi vocal Simon Le Bon.

Seperti terkena kejutan elektrik, tubuh aku tegak. Begitu pun, suara radio masih kuat. Aku kerutkan kening tatkala menatap wajah Hisyam. Cuma sejenak, sebelum aku bergegas laju menarik tuala yang berjuntai di penyidai. Bila keluar bilik, pintunya aku tak lupa hempaskan kuat-kuat sebagai tanda serangan balas. Hisyam sengih panjang.

***

Mandi pagi aku selalu Hisyam kompelin seperti sepatung mandi. Sekejap sangat. Entah bersabun entahkan tidak, rungutnya. Dia apa peduli kalau aku nak mandi ke tidak. Kalau badan aku naik kurap atau panau sekalipun, badan aku. Bukannya tubuh badannya. Kalau orang kata aku busuk pun, diri aku bukannya dia. Hisyam tu macam tak reti je, tingkah lakunya. Tapi dia tetap sahabat aku dunia akhirat. Demi Allah!

Tuhan ku

Cahaya-Mu

Panas suci bagai kerdip lilin

Di kelam sunyi

Keluar semula dari kamar mandi, rasa sedikit kesegaran menggantikan tubuh aku yang lesu awal-awal tadi. Masuk ke bilik, suara Simon Le Bon dah pun berganti dengan suara Zubir Ali. Hisyam memang peminat nombor satu Harmoni. Walaupun aku sering kecamnya dengan muzik kegemarannya ini. Lagu-lagu puisi yang tentunya tidak boleh masuk dengan diri aku. Apa lagi dengan kami berdua. Bukankah kami ini masih remaja. Tujuh belas tahun masih terlalu muda untuk mengerti erti-erti fatamorgana seperti itu. Tetapi Hisyam membalas balik bahawa puisi-puisi dalam bentuk lagu ini bukan fatamorgana. Kerana apa yang disampaikan adalah kebenaran... kebenaran! Tegas Hisyam akan hal tersebut. Entahlah, Hisyam!

Tuhan ku

Aku hilang bentuk

Kembara di negeri asing

“Aku belikan kau nasi lemak,” unjuk Hisyam kepada plastik di atas meja.

Hmm..” aku sekadar mengiakan aja kerana mencari T-Shirt baru dari dalam almari. Sebelum menyarungkan pula seluar jean bell bottom yang tergantung di belakang pintu yang sudah aku pakai tiga hari lepas.

“Kau bancuh air apa ni?” Aku menjenguk kole yang masih berasap. Baunya macam kopi tapi lihatkan rupa airnya sah-sah, teh. Ikut pandangan biji mata aku lah!

“Kopi lah tu.”

Arr... itulah! Mujur aku tanya.” Aku ‘cucuk’ fasal kopi Hisyam. Hisyam ketawa.

“Kopi dah habislah... kawan,” cerita Hisyam.

Aku hirup perlahan air panas yang dikatakan Hisyam sebagai kopi buat basahkan kerongkong yang kering. Lecahnya rasa! Komen dalam hati aku. Tapi perut aku memang tidak pernah cerewet. Kalau Hisyam gantikan serbuk kopi dengan debu kerak belakang kuali sebagaimana filem komedi Nujum Pak Belalang pun, rasanya lidah aku sanggup aja telan.

Bungkusan nasi lemak dari dalam plastik aku ambil. Lipatannya aku buka, aroma daun pisangnya aku hidu dalam-dalam. Akhirnya hilang jua kehambaran air kopi Hisyam tadi.

“Jo... tak payahlah kau hidu nasi lemak tu banyak-banyak. Bukan budak perempuan tu yang bungkus nasi kau hari ni. Hari ni mak dia bungkus kan nasi kau.” Hilang sekerat selera aku mendengar omelan Hisyam.

Aku belum pun minta apa-apa komen Hisyam, tapi mulutnya laju kalahkan roket Apollo 11 menabur perkataan. Lagi satu, yang dia tiba-tiba jadi terlebih rajin kenapa? Err... geram ni, rasa nak sekeh kepala orang!

Aku hidu lagi aromanya. Sengaja nak tunjukkan kat Hisyam bahawa penerangan tak dimintanya itu tidak sedikit pun menolak selera makan pagi aku. Hendak kenakan aku konon. Walhal dia itu yang beria-ria syok dengan anak Makcik Tun. Kalau tidak, kenapa pagi-pagi buta lagi dah pergi ke gerai tu? Kononnya lah kebetulan lalu ikut jalan tu balik dari solat Subuh di masjid. Terus singgah sarapan kat situ. Alasannya yang tak pernah aku lekat dan tampalkan dalam kepala. Ceh... macam lah aku ni budak Darjah Satu, Hisyam! Yang senang-senang kau gula-gula dengan helah semacam tu.

“Syam... esok petang aku nak balik rumah ma aku lah.” Aku mengusulkan rancangan yang sudah sekian lama terbantut dengan waktu dan kesibukan. Yang sebenarnya terbantut dengan helah aku sendiri lah.

Hmm... baguslah macam tu, dah lama kau tak balik ke rumah ma ayah kau. Tak baik macam tu, Jo. Lagipun rumah keluarga kau bukannya jauh mana pun macam budak-budak lain. Naik bas, sejam dah pun sampai. Dan sekarang ni kan tengah cuti. Elok sangat lah tu.”

Tiba-tiba Hisyam jadi panjang memberi nasihat pula. Aku baru sebut sebaris ayat dan tidak pula aku minta apa-apa pandangannya. Begitu pun dia dah bertindak balas dengan empat ayat. Ewah, dia! Suapan nasi lemak ke mulut, aku tambah kelajuannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan