15 April 2012

11

Hari-hari yang berlalu menjadikan jumlah masa untuk menghadapi SPM kian hampir. Debar dalam dada aku turut menjadi kian tak tentu. Semakin dekat dengan peperiksaan besar itu, terasa semakin banyak perkara yang kian aku ketinggalan. Walhal boleh dikatakan semuanya sudah kebanyakan aku ulang kaji sama ada bersendirian atau berkumpulan. Maklumlah pertama kali menghadapi ‘peperangan’ biarpun sebelum ini aku pernah menduduki SRP dan Ujian Penilaian Darjah Enam. ‘Peperangan’ itu selalu Hisyam guna buat menggambarkan betapa kami di sini sebenarnya sedang berlatih untuk ‘bertempur’ di medan ‘peperangan’. Kerana peperiksaan inilah pengukur masa depan aku sama ada berjaya atau tidak pendidikan yang aku terima semenjak dihantar memasuki alam persekolahan seawal usia tujuh tahun hingga kini. Peperiksaan inilah menentukan aku berjaya atau tidak memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi. Peperiksaan inilah juga menentukan hala tuju masa depan aku selepas ini. Mahu jadi seorang doktor ke? peguam ke? jurutera ke? atau sekadar kuli orang.

Harapan yang diletakkan oleh kedua orang tua aku menjadikan aku makin berat menggalas impian ini. Ayah mahu aku melanjutkan pelajaran ke universiti. Dia mahu aku mengikut jejak langkah Kak Aziah. Dia ingin anak-anaknya sampai ke menara gading. Dan ayah begitu yakin bahawa aku mampu melaksanakannya dengan kemampuan aku sekarang kerana aku sekarang berada di sekolah terbaik di Seremban ini. Apatah lagi Peperiksaan Percubaan SPM lalu, nama aku antara dua puluh pelajar terbaik di sini dan sudah pun ditawarkan kerajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke Australia. Itulah yang membuatkan aku semakin berat memikul tanggungjawab ini dengan harapan menggunung yang disandarkan ke atas bahuku.

Sedang aku terleka menikmati pemandangan padang bola bertentangan dengan asrama bilik, Hisyam masuk. Wajahnya nampak sungul. Aku tahu sejak sehari dua ini wajah Hisyam dan beberapa teman rapat aku selain Ilyas dan Zainal juga turut mempamerkan rupa demikian di hadapan aku. Tetapi selalunya aku cuba tepis rasa berbelah bagi itu dengan tanggapan yang positif. Allah sedang menguji aku.

“Jo, dah siap?” tanya Hisyam sekilas merenung sebuah beg pakaian di sisi katil bujang double-decker kami. Aku angguk.

Hisyam datang berdekatan aku, sambil menepuk-nepuk beberapa kali belakang bahu aku. Adapun telah banyak kali Hisyam melakukan aksi ini sejak dua hari lepas lagi, aku membiarkan. Dia lebih mengenali aku lebih daripada Pengetua dan Cikgu Zakuan, guru disiplin sekolah ini. Namun suratan yang tersurat tidak berupaya ditukar dengan tepukan menenangkan ini. Suratan yang sudah tertulis aku telah pun digantung persekolahan selama dua minggu bermula hari ini. Ya, itulah suratan perjalanan hidup aku.

* * *

“Kalau bukan awak punya, macam mana benda ini boleh ada dalam lokar awak, Johari? Lokar itu, kuncinya ada pada awak... bukannya dengan orang lain.”

“Demi Allah cikgu... saya tak simpan benda ini!” aku meletakkan kedua-dua tapak tangan aku ke atas meja sambil menundukkan kepala bahawasanya aku sungguh-sungguh dengan ayat tersebut.

Aku tahu aku ini jahat... jahil lagi. Tetapi aku masih tahu membezakan yang mana benda baik dan yang mana buruk. Yang mana satu haram dan yang mana satu harus. Aku tujuh belas tahun kini. Masakan aku jadi dungu nak menyimpan benda-benda seperti itu. Lagi-lagi di asrama sekolah.

“Kalau kamu tak simpan kenapa ia boleh berada dalam lokar kamu?” usul Cikgu Zakuan seraya menolak tiga biji majalah lucah ke depan mataku. Tindakannya seperti mahu meyakinkan aku lagi bahawasanya majalah-majalah tersebut memang milik aku.

Aku rasa seolah-olah dunia pun hilang seluruh bicara. Aku tidak mahu mengulangi penafian yang puluhan kali. Kerana setiap kali aku menafikan, setiap kali itu juga Cikgu Zakuan terus menyoal aku - lebih dalam, lebih berbelit. Lalu kali ini aku menggunakan isyarat gelengan kepala beberapa kali. Butang kolar baju kemeja putih aku sudah aku longgarkan butang atasnya. Bunyi putaran kipas siling KDK melebihi angin yang dikeluarkannya. Bilik tertutup ini semakin mengumpul hawa panas daripada sejuknya. Sekalipun aku memakai seluar pendek, namun tetap gagal menyejukkan diri sendiri apatah lagi suasana sekarang.

“Beginilah, Johari..,” mulai Cikgu Zakuan mencari semula pangkal cerita ini. Aku tiba-tiba rasa lemas.

“Saya terpaksa bawa perkara ini kepada Pengetua.” Keputusan maha sulit yang akhirnya aku terpaksa tadah.

Tiba-tiba aku rasa tak ubah seperti soldadu tewas di medan pertempuran. Habis peluru... hilang senapang. Kaki pula digari kedua belah sambil mengheret beban besi berat. Demikianlah azabnya yang aku rasai kini. Wajah aku ikut terkulai menunduk ke bawah. Aku tidak mahu kes ini dibawa ke meja Pengetua. Aku bimbang kalau-kalau nama keluarga aku nanti disabitkan sama. Ma dan ayah tentulah amat kecewa dengan aku. Hatta perkara ini tidak pernah sesekali aku lakukan. Demi Allah... aku sanggup bersumpah!

***

“Jo nanti aku telefon kau ye,” beritahu Hisyam waktu bersalaman dengan aku di hadapan pintu pagar sekolah. Ayah di sebelah masih mampu menabiri senyuman adapun dalam suasana tegang begini. Aku mengangguk.

Suramnya rasa suasana pagi ini. Tatkala pelajar-pelajar lain sedang khusyuk menelaah buku-buku pelajaran dan mengumpul ilmu di kelas, aku pula terpaksa mengatur langkah meninggalkan sekolah. Hisyam, Ilyas, Ishak dan Zainal tadi pun aku tak ajak mereka datang menghantar aku. Tetapi itulah... persahabatan. Aku tak mahu mereka ketinggalan dalam pelajaran hanya kerana aku. Biarlah aku sahaja yang ketinggalan, dalam waktu-waktu SPM kian menghampiri. Aku sedar dengan harapan mereka. Tapi mereka semua tetap mahu mengiringi aku ke kereta ayah ini. Hanya ayah sahaja yang datang menjemput aku. Ayah pun dalam pakaian uniformnya. Aku tahu ayah terus datang habis sahaja tugasnya awal pagi tadi.

Sebaik berpamitan salam, aku tidak melengahkan masa terus memasuki perut kereta. Tangan, aku lambai-lambai kepada rakan-rakan. Aku doakan kemudahan buat mereka semua walaupun tanpa aku bersama mereka.

2 ulasan:

  1. salam kak ruby.. :)

    dah lama tunggu sambungan cerita ni dekat blogdrive kak ruby yang satu lagi tu. Cari punya cari x jumpa. sedih jgklah skt2.. Akak dah delete ke blog tu?

    Kemudian tjumpa dgn blog nie.. happy balik.. hehe. apapun saya suka cerita ni. :D

    BalasPadam
  2. Salam anis,

    Terima kasih singgah di sini dan maaf kerana terpaksa pindahkan SYH ke sini. Memang dulu di blogdrive. Tapi entah kenapa ari tu bila angin rajin datang nak update entri kat sana, ilmu di blogdrive hilang. Lupa segalanya. Jadi akak create blogspot ni. Tapi sekarang blogspot bersalin kulit sekali lagi. Akak lagi sekali jadi tak tahu nak pos entri. Aduh! tapi ini cerita masa2 terluang aja. tengok dah berapa lama tak update. Waktu tu baru habis menulis Mr Right Buat Ann... akak saja2 menulis sikit2 di sini. Nantilah ada masa lagi akak sambung... sekarang sedang menulis satu lagi cerita. Thanks ye

    BalasPadam