27 Februari 2012

4

Setiba di panggung wayang Cathay di bandar Melaka, aku mengikut saja arah haluan Zana dan Tini. Mereka berdualah yang beria-ia hendak bawakan aku menonton filem Adik Manja ini. Sebenarnya bukan kecenderungan akulah menonton cerita-cerita sebegini. Namun oleh sebab keinginan dua adik aku itu, lalu aku terpaksa korbankan ego sekejap demi untuk mereka dua. Iye lah kalau aku tak sanggup jadi bodyguard tadi, pastinya payah ma dan ayah membenarkan dua adik perempuan aku ini keluar ke bandar. Hanya aku lah satu-satu lelaki yang mampu disandarkan harapan mereka berdua. Yusran, awal-awal lagi angkat tangan minta maaf tidak mahu ikut serta. Yusran kan budak alim, manalah mahu dia ke tempat-tempat begini. Shah pula, Zana dan Tini kata tak penuhi piawaian mereka. Nakal Shah itu, sukar dijangka. Manalah tahu tiba-tiba dalam panggung nanti dia buat hal, rosak mood menonton. Kata Tini sebal hati. Lalu Zana dan Tini reject Shah awal-awal lagi.

Masuk panggung aku tunjukkan jari ke tempat duduk paling depan. Tiga baris dari layar waktu Zana dan Tini mengintai-intai seraya mengangan-angankan tempat duduk lebih selesa barangkali. Dia lupa kah aku yang beratur panjang depan kaunter tiket tadi. Ada hati nak pilih-pilih tempat.

Depaaaan... sekali,” sergah ku dari belakang mereka berdua. Terbeliak biji mata mereka.

“Abang Jo ni, dahsyat lah,” kritik Tini tidak puas hati seperti diduga.

“Eh, padanlah dengan harga tiket kelas dua nih.” Pamer aku tiga tiket di tangan. “Kan datang nak tengok cerita. Bukannya nak beli tempat,” sambung aku bersahaja.

“Benci!!” Zana yang turut tak puas hati terus mencubit lengan aku. Aku sengih panjang sambil menolak belakang kedua-dua mereka yang dah melangkah seperti soldadu kena tawan.

Duduk di depan sekali alamak boleh buat patah leher sebenarnya. Sebab itulah Tini protes sangat. Tapi apa boleh buat, tiketnya ini aja yang ada.

Aku duduk berdekatan kedua-dua adik perempuanku. Sambil itu kiri Tini aku amati gerangan yang datang mengambil tempat. Siapa tahu, ada budak-budak lelaki yang ada memasang niat jahat terhadap mereka.

Aku letakkan atas paha Zana satu plastik berisi beberapa kotak Drinho Chrysanthemum Tea dan kuaci cap helang yang aku beli dari nyonya yang berjaja di hadapan pawagam tadi.

“Air kotak buleh bawa dalam itu panggung maaa...” beritahu nyonya tadi meyakini. Iye aku pun tahu bila habis sesi tayangan nanti, berselerak kulit-kulit kuaci atas lantai panggung. Sebabnya aku pernah buat gitu. Makan kuaci dan sepah-sepahkan kat tempat duduk. Aku tahu selepas itu, adalah makcik cleaner datang sapu. Kalau tak pun, Makcik Tikus pula bantu.

Riak wajah Zana antara sudi dengan tidak aja mengambil pemberian aku. Aku sedar, mereka masih nak boikot fasal tempat duduk ini.

“Kuaci?” soal Zana penuh jengkel selesai membelek isi plastik. Tini di sebelahnya mencemik. Seolah-olah makanan itu untuk orang berkasta rendah pula bunyinya. Atau lebih kurang macam dialog Nyonya Mansor ini.

Apa ahli muzik?! Memang pantang datuk nenek aku ahli muzik.

“Belilah Charlie Chikadee ke, kacang ke... atau gajus. Macam tuuu...” muncung mulut Zana menunjuk ke arah lelaki selang dua kerusi dari kanan ku, sebarisan dengan kami yang baru membawa keluar isi plastik gajus untuk seorang perempuan. Makwe dia lah tu kut.

“Chiclets pun tak de,” sungut Tini tetap belum puas hati.

Amboi, tinggi-tinggi sungguh taste adik-adik aku ni. Harap-harap inilah kali pertama dan terakhirnya aku harus bersama mereka di sini. Kalau lah hari-hari, agak-agak mahu botak kepala aku dibuat mereka berdua.

“Eh Cik-cik adik, beli tiket tadi pun dah $2.00 seorang tau... kalau tak mahu tak pe. Abang Jo boleh habiskan,” ungkit aku sekadar hendak mengacah selain menyedarkan mereka. Plastik di tangan Zana, aku cuba capai kembali. Namun Tini lebih dulu merebut tergopoh-gapah.

Oh, tahu juga mereka nak makan. Fikir aku cuba menyembunyikan senyuman dalam hati.

Layar di depan mula menayangkan filem Adik Manja. Dua pelajar nakal perempuan Sofia dan Yati sedang mengintip Cikgu Sharina dan Cikgu Azmi di dalam bilik stor. Bahagian ini aku rasa nak gelak juga. Ada ke patut cikgu diberikan bilik stor untuk tinggal?

Begitu pun hati aku tetap terasa boringnya. Terlalu koman aku rasakan. Lain lah kalau filem Star Wars ke, Jaws ke, kalau tidak Saturday Night Fever atau Alien ke. Ada lah juga semangat hati ini untuk mengikuti. Tetapi beritahunya Zana, cerita ini best. Ramai kawan-kawannya puji. Best dalam kategori filem Melayu lah tu. Oh, prejudisnya aku ni!

Encik Azmi, suruh mereka tulis... kami tidak tertarik hati dengan soal cinta. Kami akan utamakan pelajaran. Suruh mereka tulis seribu kali!

Di layar, Cikgu Sharina sedang melepaskan berangnya terhadap dua pelajar perempuan tadi. Sebaik mengetahui Sofia dan Yati berjaya mengintip perbuatan mereka berdua dalam bilik stor. Dalam kepala aku... begini aje ke jadi cikgu? Zana dan Tini di sebelah ku dah tersenyum-senyum kambing.

Alah itu tak jadi masalah... senang aje. Dengan denda tulisan seribu kali tu, kami dah tahu rahsia Encik Azmi dan Cik Sharina.”

Sebut Si Sofia dalam filem itu bila diingatkan oleh Cikgu Azmi akan denda tersebut. Hah, tak ke betul tu apa yang disebut student tu?

***

Sejam berlalu, rasa rimas yang dah tak mampu aku tahan, aku terpaksa mereka-reka alasan lagi. Kali ini aku beritahu untuk keluar ke tandas. Tini dan Zana angguk. Walhal sebenarnya dalam kepala aku, sudah berhasrat aci potong jari kelengkeng untuk keluar terus dari panggung ini. Sebaik berjaya meloloskan diri daripada panggung, aku melilau ke hulu ke hilir sahaja di depan bangunan ini. Kenderaan yang bersimpang siur di Jalan Hang Tuah, aku perhatikan satu demi satu. Macam surveyor tak bertauliah pula rasanya.

“Berapa banyak dah kereta yang lalu hari ni, Adnan?” sergah guru mata pelajaran Sains kami kepada teman sekelas ku kerana asyik memerhatikan kereta yang lalu lalang di jalan utama berdekatan makmal sains sekolah kami satu ketika itu. Dia ternyata tidak menumpukan perhatian kepada apa yang tengah diajarkan Cikgu Ramli.

Adnan yang sedang syok sendiri mati kutu tiba-tiba. Khayalannya mati. Manalah dia tahu akan disergah sedemikian rupa. Kerana tadi dia benar-benar sudah leka sendiri. Entah-entah waktu tu dia sedang berimaginasi dengan si anu binti si anu tu.

“Tadi awak tengah bilang kereta, kan?” Muka Adnan nampak blur. Dia tahu, dia dah tertangkap dengan soalan itu.

Sebab itu lah jika teringatkan bab memerhatikan kenderaan ini, kami akan terkenangkan kisah Adnan.

Adnan! Adnan! Keluh hati kecil ku.

Esak tangis seseorang mengembalikan semula fikiran aku di hadapan panggung ini. Cerita fasal Adnan lenyap. Mata aku mula menyiasat segenap tempat. Dalam benak berfikir sendiri. Adik aku kah? Tini ke? Atau Zana ke? Tapi aku tahu tayangan di dalam belum tamat lagi. Kalau dah habis, pastinya dah berduyun-duyun orang keluar sekarang.

Aku amati lagi suara tangisan itu. Sah, suara seorang perempuan yang duduk mencangkung di sisi kaki lima ini. Dia menekap mukanya ke atas kedua-dua lengannya. Aku pastikan dulu sekeliling ku tidak ada orang lain yang boleh aku syak ada dengannya. Bila benar-benar pasti dia bersendirian, barulah aku hampirinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan