4 April 2012

10

Aku menoleh sekilas sesusun mangkuk tingkat dengan rasa yang payah nak diungkap. Bekas yang baru diletakkan oleh Ilyas di atas meja studi aku masih belum ada hati untuk aku buka. Sudah setengah jam tadi ia diletakkan di situ. Pesanan yang disampaikan Ilyas tadi bersama kiriman mangkuk tingkat ini kian membuatkan duduk aku tidak senang. Aku sekadar membantu. Salahkah? Dan terus terang aku terangkan, aku tidak pernah berniat melebihi daripada sepatutnya.

“Untung kau ye, Jo... sekarang makan minum kau pun rasanya dah ‘ada yang sudi jaga’,” kias bahasa Ilyas saat meninggalkan titipan tersebut buat aku.

Frasa ‘ada yang sudi jaga’ jelas lah mengheret gelodak perasaan aku bukan untuk dua kali tapi berpuluh kali dengan perkara yang bukan-bukan. Sekali difikirkan, aku rasa ingin kembalikan bekas ini semula kepada si pengirimnya. Tapi wajarkah pula?

“Tak payah banyak fikir, Jo... makan ajelah apa yang dah orang kasi tu. Sementara orang tengah nak buat budi,.. sambil tambah pahala untuk akhirat tu, kenapa nak tolak pula,” sela Hisyam seraya mengerling Ilyas di sebelah tadi. Barangkali Hisyam kurang menyenangi perkataan Ilyas.

“Emak saudara Azean tu ikhlaslah, Jo... hari tu dia tak sempat nak titipkan apa-apa. Entah-entah hari ini,.. masa aku, Ilyas dan Zainal pergi sana, dia kenal pula. Azean tanyakan kau. Aku cakaplah kau sibuk. Itulah dia kirimkan nasi ini untuk kau,” terang Hisyam sedikit berjela-jela.

Aku diam sejenak. Iyelah apa yang perlu aku risaukan sangat. Orang nak berbudi, kenapa pula aku harus menolak. Cakap-cakap Ilyas tak sepatutnya aku lekatkan dalam kepala. Jika aku ni ada sakit kepala yang hendak hampir baik terus tidak jadi baik hingga ke esok. Jadi lebih baik aku buat tak tahu. Habis cerita.

Aku lalu buka satu demi satu susunan mangkuk tingkat yang empat biji itu. Aku lihat isi dalamnya satu persatu. Sambal tempoyak pucuk paku, sambal udang dan ikan cencaru sumbat. Kemudian semangkuk nasi yang masih aku rasa hangat bekasnya. Alamak, menyelerakan!

Tengok Ilyas, kalau aku dengar cakap kau... tolak rezekilah perut aku! Rungut hati aku tiba-tiba. “Ilyas ini tak pandai sungguh nak mengata. Rezeki macam ni punya sedap kau nak api-apikan aku. Tak reti sungguh nak mengena. Perut aku tak kenyang lah dengan ayat kau tu, Ilyas,” sungut aku membebel sendirian.

Aku berpusing ke belakang mencari camca dan garpu dari dalam kole yang terletak di atas meja Hisyam. Demikian sebiji pinggan plastik dari dalam laci meja, aku bawa keluar.

“Perut aku hanya kenyang dengan benda-benda macam ni je lah Ilyas.” Tak putus-putus mulut aku membebel akan Ilyas. Lauk punya sedap macam ni, tak perlu tunggu Jo... seru hati aku lagi sekali.

Nasi dalam mangkuk aku sendukkan ke dalam pinggan plastik di depanku. Selera yang datang dah payah nak aku tolak ke tepi. Dengan lafaz bismillah, sesudu nasi berlaukkan secubit ikan cencaru sudah selamat masuk ke mulut aku. Alhamdulillah...

Sedang enak aku menjamu selera sambil meratah ikan cencaru tiba-tiba pintu bilik tergopoh-gapah ditolak dari luar. Terjengul wajah Ishak di muka pintu. Tersendak aku dibuatnya. Tanpa salam tanpa ketukan lebih dulu, Ishak nampak macam kena kejar dek hantu.

Owh, maaf Jo... aku ingatkan tak ada sesiapa.” Tercungap-cungap nafas Ishak menagih kemaafan aku. Aku senyum menoleh wajahnya yang kelihatan cemas.

“Baru makan Jo?” soal Ishak hairan seakan-akan cuba menyembunyikan gelisah riak wajahnya.

“Dah makan sebenarnya tadi... tapi sayanglah nasi lauk sedap ni. Hisyam bawa balik. Jadi makan yang kedualah tengah hari ni aku.” Ishak ketawa.

“Kau tak de discussion ke dengan Syam dan semua-semua tu?” soal Ishak seperti hafal rancangan perbincangan kami malam tadi sambil membuka laci dan mengeluarkan sampul perang bersaiz F4.

Memanglah aku dan Hisyam juga Ilyas dan Wan Zainal ada merancang begitu. Tapi pagi tadi aku teringat nak siapkan karangan Bahasa Malaysia yang diberikan Cikgu Rohani minggu lepas. Jadi aku ke perpustakaan. Hisyam, Ilyas dan Wan Zainal, habis separuh perbincangan tadi pergi makan di gerai emak saudara Azean. Dan mungkin mereka semua sedang menyambung kembali perbincangan itu. Aku pun sekejap-sekejap lagi lepas habis makan ini akan join mereka juga.

“Aku siapkan essay Cikgu Rohani kat library tadi. Kejap-kejap lagi aku pergi lah kat bilik discussion. Hah... yang kau ni macam kena kejar puntianak, kenapa? Tak de latihan bola ke petang ni?” Ishak memang nampak berlainan petang ini. Entah tersampuk dengan apa pula dia.

Ishak memang dikenali ramai sebagai pemain pertahanan pasukan bola sepak sekolah yang berbakat besar. Dia terpilih mewakili sekolah dalam sukan ini sejak di tingkatan empat lagi. Kejohanan persahabatan merebut Piala Akmar Aziz yang berlangsung sekali setahun, sekolah kami belum pernah gagal menempah diri ke peringkat akhir. Satu-satu sekolah yang sering menjadi saingan MCKK untuk menjulang piala ini. Kerana itulah kejohanan itu amat penting buat Ishak dan pasukan bola sepak serta sekolah kami.

Err... latihan tunda ke esok. Tak ada apa-apa... teringatkan buku Hamdan ni. Nak pulangkan lah ni,” tergagap-gagap Ishak menjelaskan. Dia menahan nafas kut. Telah fikiran aku. Aku mengangguk cuba memahami sekalipun aku sebenarnya tak faham dengan tindak-tanduknya untuk petang ini. Berlainan.

Buku? Aku mengintai balik belakang badan, sampul surat perang yang dipegang Ishak. Kenapa pula harus dibubuh dalam sampul? Bibir bawah ku menjuih. Malaslah aku nak mengusul periksa dia. Cubitan terakhir ikan cencaru aku suapkan ke mulut.

“Kejap lagi kau join discussion dengan Hisyam ek?” tanya Ishak sambil mengelek sampul tadi sebelum keluar semula. Aku angguk mengiakan.

Dalam fikiran aku rasa nak mengutuk pulak... Ishak ini ada masalah pendengaran ke, hingga kena ulang tanya pula? Okey, Jo... stop! Tak usah mengata orang depan rezeki tu. Nasihat hati aku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan