24 Februari 2012

3

“Bila nak balik asrama, Jo?” mula ayah tika menyudu sedikit kuah kari dari pinggan di hadapan pinggan nasi ku.

Err... pagi esok kut.” Teragak-agak aku cuba mengatur ayat. Termengkelan juga dengan soalan ayah.

Sebetulnya aku pun belum merancang lama mana harus ku habiskan waktu kat sini. Tak kan perlu sampai seminggu pula. Biarpun aku tahu cuti belajar ku memang sepanjang itu. Selalu aku fikir, kalau tinggal jauh-jauh itu wajar juga. Ini tak sampai dua jam pun perjalanan ke sini menaiki bas ekspres. Jika macam pelajar-pelajar dari Kelantan ke, Sabah, Sarawak ke atau Perlis itu munasabah lah.

“Amboi, lekasnya!.. ada bini ke tunggu kat sana?” Ma tiba-tiba muncul mengambil pinggan ikan cencaru goreng di meja yang sudah tinggal setengah ekor. Ma dah tahu aku sedang bercuti sekarang.

Ketawa Shah dan Yusran pecah hampir serentak. Aku pun hampir-hampir nak menyemburkan butir nasi dari dalam mulut sendiri. Ma kalau nak bertanya atau bercakap tak pernah pakai ‘lapik’. Dia memang seorang yang tidak tahu berselindung. Segala yang terkeluar dari mulutnya itulah yang diucap oleh isi hatinya. Hairan juga aku, macam mana ayah yang slow and steady boleh sangkut dengan ma dulu. Tapi kalau ma dan ayah tak kahwin dulu, tentunya hingga ke hari ini pun aku belum wujud lagi atas bumi ini. Betul tak?

Kah kah kah... Abang Jo ada bini... kah kah kah!” ketawa lepas Shah hinggap ke telinga ku. Ketawa yang sengaja ditirunya dari siri cerita kartun Popeye The Sailor Man.

Aku tenung tajam Shah di kerusi setentang dengan ku. Sambil itu jari jemari tangan kiri ku sengaja aku usap-usap ke dahi. Kemudian lebam di pelipis kiri ini aku kuis-kuis dengan ibu jari di hadapan Shah. Satu hint cuba aku sampaikan buat Shah. Biar dia sedar, kalau tak disebabkan dahi abang dia ini yang selamatkannya, dah pasti bekas sama ini lekat kat kepalanya sekarang. Tadi manalah aku tahu dia sedang mengelakkan lontaran pencil case dari Tini di hadapan pintu. Sebaik aku menolak pintu itu, Shah membongkokkan badannya dan bekas pencil yang tak mengenal sasaran itu lantas mengena atas kepala aku. Sakitnya aku rasa macam nak luku aje kepala Tini balik.

Dan satu lagi, cerita dia selongkar isi diari peribadi Tini, belum sampai ke pengetahuan ayah kami pun. Dia pun boleh jangka apakah akibat yang bakal menunggunya jika cerita itu diketahui ayah. Melihatkan aksi aku itu, sekejap aja mulut Shah tak berkutik. Bahunya bongkok, mukanya tunduk. Maknanya dia dah dapat tangkap isyarat aku. Hmm... bagus!

“Kalau nak balik esok, balik lah petang-petang sikit. Boleh ma siapkan apa-apa buat Jo bawa nanti.” Ma datang semula dengan pinggan tadi. Isinya juga bertambah dengan empat ekor lagi ikan sama.

Aku jadi tak tahu nak menjawab. Bila ma sebut macam itu, aku tahu niatnya untuk aku. Selalu pun begitu juga, ma rajin mengirimkan apa-apa buat aku melalui Rosli, anak jiran kami yang satu kelas dengan aku atau ada kalanya ayah sendiri yang pergi hantarkan kat aku.

“Sempat nanti ma buatkan kek lapis untuk Jo.” Ma duduk di kerusi sebelah ku. Seperti satu keputusan ma muktamadkan buat aku.

Ma tahu kesukaan aku. Dan aku pun tahu jangka masa untuk siapkan sebiji kek lapis itu. Bukannya sekejap dan maha rumit kerjanya, aku malas nak cakap aja.

“Nanti petang esok ayah hantar Jo balik sana.” Ayah pula menokok saranan ma. Lalu mana lagi peluang untuk aku membantah sekarang?

Ikut ajalah, Jo. Sokong hati ku.

***

Satu demi satu petak tangga tanah ini aku aturkan langkah. Tebing curam ini berhati-hati aku turuni, bimbang tergelincir. Takut tak fasal-fasal nanti aku tunjukkan aksi akrobatik percuma pula. Kalau badan ini saiz zaman budak-budak dulu tak pe lah juga, ini dah berjanggut. Masya-Allah... malu eh!

Damparan ombak pantai Telok Mas mengusik hati ku untuk singgah ke sini sebentar. Sekadar mengambil angin dan udara pagi dari sini. Lalu setelah selesai sarapan pagi, aku susun rancangan sendiri. Kerana ma nak keluar ke pekan untuk mencari barang-barang dapur katanya tadi. Ayah pula masuk kerja pagi seminggu ini. Jadi seawal pagi lagi dia sudah keluar. Tapi tengah hari nanti, dia balik. Aku tahu tugasnya sebagai pegawai penjara.

Tak ada sesiapa pun di sini. Sebab aku tahu ini bukan lokasi peranginan. Tapi sekadar sebahagian kawasan milik Penjara Henry Gurney. Aku tanggalkan dulu sepatu di kaki sebelum cecahkannya ke tanah sedikit berselut. Kelibat licik belacak aku berjaya kesani dari ekor mata. Jika dulu-dulu, dengan abang Halim, ikan ini memang ‘makanan’ permainan aku. Sekarang tak lagi lah.

Aku imbangi badan sendiri ketika melalui tanah yang licin ini. Aku mahu lebih dekat ke pesisir pantai. Meranduk di gigi pantai yang landai ini seronok juga. Kaki seluar aku lipat sedikit. Aku mahu merasai air laut ini.

“Abang Jo!” suara halus menggamit perhatian ku. “Tunggu Zana,” pintanya.

Tubuh Zana nampak kecil aja dalam jarak 100 meter dari tempat aku. Terkocoh-kocoh dia berjalan pantas. Aku membatu di tempat sama.

“Hati-hati Zana!” laung ku. Senyumannya meleret ketika memaut lengan ku.

“Basah nanti skirt tu, Zana,” tegurku. Zana mengangkat sikit skirt labuhnya. Kami beriringan membelah arus damparan ombak.

“Kenapa Abang Jo nak pulang asrama cepat sangat? Kan Abang Jo masih cuti.” Seperti akan ketinggalan kereta api, Zana menyuarakan pertanyaan seperti ma dan ayah malam tadi. Aku pandang wajah sisi Zana di sebelah sebelum Zana sendiri berpaling menatap wajah ku.

“Ada kerja nak siapkan. Abang Jo lupa nak bawak balik buku pula tu.” Alasan aku yang kurang bijak. Zana di sebelah kian tajam memandang. Kalaulah tajam mata Zana itu diibaratkan seperti mata pedang, rasanya dah jadi Kassim Selamat dah aku sekarang. Dasar pembohong!

“Zana nak bawa Abang Jo ke mana?” aku cuba larikan rasa bersalah terhadap Zana dengan soalan tak ikhlas pula.

“Ingatkan kalau Abang Jo lama lagi, boleh kita pergi nonton cerita Adik Manja. Esok ada tayangan kat Melaka.” Wajah sendiri aku jatuhkan ke lantai pantai. Sesekali ombak menghempas, air lautnya memercik ke seluar yang telah ku singsing.

“Ni mesti nak tengok Noor Kumalasari berlakon kan?” duga ku. Zana tersengih sembunyi rasa malunya. Aku tahu lah yang Zana menggilai pelakon tersebut. Kerana itulah sekarang Zana dah pandai-pandai simpan rambut panjang berbelah tengah. Kononnya macam Noor Kumalasari lah dia tu.

“Jom lah!” sentak Zana pada lengan ku, tak sabar.

“Nanti lah Abang Jo fikir dulu.” Aku tidak berani berjanji.

“Zana tunggu petang nanti tau,” tagih Zana. “Ok, Zana tak mahu lama... Zana nak balik ke rumah. Nak ikut ma ke pekan. Abang Jo nak ikut?” pelawa Zana. Oh, macam-macam sungguh lah Zana ni. Dia tahu aku tak mahu lama di sini tapi sengaja menyusun pelbagai agenda untuk aku.

“Tak mahu lah,” jawabku ringkas. Pautan tangan Zana di lenganku dilepaskannya.

“Oklah, Zana kena pergi. Nanti banyak pula ma membebel. Jalan elok-elok tau Abang Jo... jangan lama-lama kat sini. Kalau Abang Jo lemas kat laut nu... tak ada orang tau,” pesannya persis mak nenek. Aku juih mulut kat Zana. Zana tergelak kecil.

“Oh, ya! Abang Jo tak mahu kirim apa-apa?” soal Zana lagi sebelum berpusing tubuh. Aku geleng. Ertinya tak ada apa-apa mahu aku kirimkan.

Lalu Zana berpatah haluan mula meninggalkan aku sendirian. Aku amati ayunan langkah adik aku itu. Sekadar meyakini diri sendiri, Zana tidak terjatuh di tanah licin tadi.

“ZANA!! ZANA!!” laung ku baru mengingati satu benda.

Zana segera berpaling ke belakang. Aku beranjak beberapa langkah hala ke arah Zana. Sekadar cukup buat suara aku sampai kepadanya.

“Beritahu ma, belikan Abang Jo kopi!!” aku mengingati kompelin Hisyam akan kopi yang dah habis pagi semalam.

“Kopi!” jerit Zana nampak macam sedikit redam.

A’ah... kopi,” teriak ku lagi sambil melakukan aksi minum. Aku nampak Zana mula mengangguk... faham lah tu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan