21 Februari 2012

2

Di bandar Melaka, aku merayau-rayau di beberapa kedai. Waktu masih terlalu awal pun jika aku hendak mengambil bas ke Telok Mas. Sengaja hendak cari kan sesuatu buat ma sebelum sampai ke rumah nanti. Lagi pun dah lama aku tak balik ke Telok Mas. Dekat-dekat enam bulan lah juga. Walhal asrama aku bukan pun jauh mana dengan rumah ma seperti mana pelajar-pelajar lain. Telefon ke sana pun jarang-jarang aku ada hati nak hubungi mereka. Tak tahu nak cakap! Serba-serbi rasa tak kena sejak dulu lagi.

Sesudah memilih sehelai selendang untuk ma, aku pusing-pusing lagi sekitar Melaka. Aku buat keputusan ke kubu A Famosa kerana sejak tadi, mata aku asyik memandang aja kubu sisa tinggalan sejarah bangsa Portugis itu dari bawah. Seperti orang kali pertama main mata dengan perempuan... hahaha.

Aku daki tangga yang curam dan berpusing-pusing untuk menuju ke sebuah gereja lama yang terletak di puncak Bukit Saint Paul. Sekadar tinggal batuan bongkah yang menjadi asas binaan bangunan ini dulu. Aku jengah ke bawah, seolah-olah aku dapat membayangkan bangsa Portugis suatu ketika dulu bertungkus-lumus membina kubu ini. Dan menurut pakar-pakar arkeologi, kubu ini terbina daripada kerahan tenaga orang-orang Melayu yang tewas dalam perang dan bahan binaannya pula diperoleh daripada batu-batu nisan kubur orang Islam Melaka dan batu-batu masjid yang diruntuhkan. Demikianlah ‘celiknya’ bangsa barat menggunakan peluang. Dari hanya sekecil ruang untuk berdagang pada awalnya sehingga akhirnya mereka menguasai keseluruhan kerajaan Melaka ketika itu. Dan membina pula sebuah kubu sebegini gah dengan segala kelengkapan stor senjata, bilik tahanan perang, bilik-bilik bangsawannya, gudang makanan dan banyak lagi selain gereja di puncak bukit ini. Satu-satunya kubu pertahanan daripada serangan armada laut tentera Kerajaan Acheh yang digeruni suatu ketika dulu oleh orang Portugis di Melaka.

Namun sebaik Portugis tewas kepada Belanda dan Inggeris, kubu ini dirobohkan... kerana bangsa Inggeris sendiri pula punya sifat ingin menonjolkan kehebatan bangsa sendiri. Menurut sejarah yang pernah aku tahu, William Farquhar – Resident of Malacca ketika itu - telah mengupah orang-orang Melayu untuk menggali dan meranapkan semua kubu-kubu ini. Kerana menurut sejarah lagi batuan yang membina A Famosa ini ditanam beberapa meter ke dalam tanah untuk mengukuhkan struktur bangunannya. Manusia!.. mujurlah aku selalu fail subjek sejarah waktu sekolah rendah dulu. Jika tidak, entah banyak mana lagi minda aku harus keluh kecewa dengan catatan silam lepas.

Eh...” aku baru tersedar tatkala membelek jam di tangan. Petang sudah menghampiri jam tujuh.

Aku harus mencari bas dengan segera untuk pulang ke rumah ma. Pulang malam-malam, aku tak berapa suka. Sepatutnya tadi waktu aku sampai di sini, aku terus balik ke Telok Mas, tetapi kaki ni rajin pula datang merayau-rayau.

Tergesa-gesa aku menjejaki Jalan Parameswara. Cari becalah dulu, ke bus-stop. Cadang fikiran ku.

***

Hampir sampai ke rumah kuarters yang diduduki keluarga aku sejak beberapa tahun dulu, aku lajukan sikit ayunan kaki. Sempat nampak ayah baru aja keluar pintu untuk ke surau. Yusran pun ada sama. Yusran tu, adik yang kelima daripada adik-beradik aku. Tetapi cara ayah mendidiknya seolah-olah inginkan dia mengikut jejak langkah Abang Halim yang dulu pernah bersekolah pondok di Kampung Panchor, Kemumin, Kota Bharu. Selalu ayah sebut sekolah pondok Pak Nik Lah. Hidup di sana memang kena perlu tahan. Ayah cerita, kat sana nak mandi pun kena karal air telaga. Waktu malam, lampu gasolinlah sumber elektrik buat mereka. Tak ada dah nak tengok-tengok televisyen atau dengar radio. Oh, mujurlah aku, ayah tak hantar ke sana dulu.

Dan sehingga sekarang ura-ura cerita yang aku dengar lewat Zana dan Kak Aziah, Abang Halim ingin terus menetap di sana. Bersama-sama datuk saudara aku – Tok Ya. Apa lagi Tok Ya tak punya anak bersama, kecuali satu-satu anak lelaki tunggal dengan arwah isteri dulu. Tapi Pakcik Zi dah berkeluarga, dah ada anak dua orang pun. Tinggal pula di Pulau Jerjak. Jarang-jarang balik ke kampung. Kalau balik pun bukanlah dapat lama-lama. Agaknya itulah sebab Abang Halim hendak sangat berada di Kelantan. Tapi aku tahu, mesti ini taktik ‘gula-gula’ Tok Ya dengan adik-beradik aku yang seramai sembilan orang ini seperti selalu. Bukan saja kepada Abang Halim malah kepada Zana dan Yusran juga begitu. Hingga pernah masa di sekolah rendah Zana dan Yusran belajar sekejap di Kelantan. Sekolah Rendah Dato’ Hashim. Alasan yang kadang-kala otak aku tak boleh terima. Tapi isi cerita hati aku tak pernah aku lontarkan kepada sesiapa bahawa aku tak suka mana-mana adik beradik aku terpisah-pisah seperti sekarang.

Orang lain pun ada anak-anak yang ramai. Tapi masih lagi mampu tinggal bersama-sama ibu bapa. Kalau pergi belajar di sekolah asrama penuh seperti aku dan Kak Aziah dulu itu tak kisahlah, aku boleh terima. Tetapi hal menyerahkan tanggungjawab kepada orang lain walaupun dari kalangan ahli keluarga sendiri, aku tak suka. Namun selalu ma sebut dekat aku, kesihatannya selalu tak mengizinkan. Entahlah aku tak tahu tang mana ‘tak mengizinkan’ hingga demikian sekali ma sanggup berpisah dengan anak-anak. Sebab pada pandangan mata sendiri, aku lihat ma masih sihat walafiat. Dan bukankah anak-anak ma sekarang dah besar-besar semuanya kecuali Atie, adik bongsu kami yang baru lima tahun.

Bertemu mata dengan ayah hampir muka pintu, aku salam tangannya dengan Yusran.

“Eh, Jo... tak cakap pun nak pulang?” soal ayah, ceria.

Saje.” Aku tumbuk sedikit bahu Yusran. Yusran gelak, sikit mengelak daripada terkena buku lima aku.

“Pergilah masuk... Ma ada kat dalam tu.” Aku angguk.

Berlalunya ayah dan Yusran, aku ketuk pintu hadapan. Tapi bunyi bising dari dalam tak mampu menarik pendengaran isi penghuni dalamnya. Aku hitung dalam kepala satu demi satu bunyi bising itu. Pertama aku dengar bunyi jeritan Tini kepada Shah.

“Aku benci kau Shah!!”

Kah kah kah... rupanya dia ada diari!” usik Shah – adik ke-enam, adik lelaki aku paling nakal.

Kedua, aku dengar suara ma memarahi Atie...

“Atie!!! Dah-dah lah tu bazirkan air.”

“Zana!! Tolong tengokkan Atie ni!!” arah ma.

Bunyi ketiga dari rancangan hiburan Donny & Marie Osmond Show yang baru bermula. Aku tahu ini favorites Zana dan Farah. Dan pastinya tika ini mereka berdua sedang melekat di depan televisyen.

Bunyi bising dari jiran kiri dan kanan pun tak kurang hebatnya menyaingi gema dari rumah keluarga ku. Suasana lazim lewat sore di sini. Waktu inilah nak dengar budak menangis. Waktu inilah nak dengar para ibu bertekak dengan anak-anak. Kerana waktu inilah juga penghuni-penghuni ‘halus’ dok berlumba-lumba menggoda anak-anak Adam.

Tengok TV dulu!

Kejap-kejap lagi boleh solat Maghrib!

Hurey! Hurey! Syaitan bersorak bila ada anak Adam termakan umpan pancingnya.

Eh,.. itu dialog Hisyam lah yang selalu berkhutbah dengan aku. Aku pinjam aja!

Di muka pintu, aku cuba dengan salam pula. Biarpun aku ada kunci pendua dan aku tahu pintu rumah ini belum dikunci sebaik ayah dan Yusran keluar sekejap tadi. Namun aku sengaja tidak terus buka kerana hendak buat kejutan.

Sekali aku cuba, tak lut. Bunyi dari dalam rumah lebih kuat. Kali kedua aku kuatkan suara dan jari jemari ku. Gagal juga. Kali ketiga juga sama. Lalu aku pulas aja tombol pintu, sebab malas nak menunggu lama-lama kat luar. Sekali pintu terkuak, ‘sambutan’ selamat pulang dari sebuah pencil case mengenai tepat ke pelipis aku.

Argh!!”

!@#$%^&

Berpinar-pinar sekejap dunia pandangan aku.

“TINI!!” Terdengar jeritan terperanjat Zana.

Riuh rendah ruang tamu rumah lengang seketika seperti baru di langgar geroda. Aku menggosok-gosok bahagian dahi yang terasa sakitnya.

“Abang Jo?!” pekik Tini seolah-olah tak percaya.

Aku cuba mengatur senyum buat semua di hadapan. Sedikit tidak ikhlas senyuman ku, sekadar cuba menyembunyikan rasa GERAM + SAKIT. Segera wajah ma muncul dari arah dapur sebaik terdengar pekikan nama ku dari mulut Tini. Bertambah satu lagi jumlah mata tak percaya melihat aku ada di sini. Harusnya aku beritahu dulu, kepulangan ini kan? Baru mereka semua sambut aku gila-gila dengan beras kunyit semua. Itu bahagian aku merapu. Jangan terpengaruh tau!

“Jo?!” panggil ma.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan