9 Mac 2012

7

Ma datang menghamparkan tilam foam saiz bujang di hadapan ku. Sejak dua tiga hari di sini, ruang tamu inilah bilik ku. Maklumlah rumah berek ini hanya mempunyai tiga bilik sahaja. Bilik utama tentulah bilik ma dan ayah juga Ati. Bilik kedua yang tak kurang juga luasnya untuk tiga adik perempuan ku – Zana, Tini dan Farah. Manakala bilik kecil berdekatan dapur pula memang sudah menjadi bilik Yusran dan Shah sejak dulu lagi. Jadi aku memilih ruang ini untuk tidak mengacau privasi adik-adik yang lain. Lagipun aku dah biasa hidup bersempit-sempit begini. Jika Abang Halim ada, dia juga harus berkongsi ruang tamu ini dengan aku.

Ma masuk semula ke bilik, sebelum datang membawakan bantal, selimut dan kain alas tilam. Belum sempat ma melakukannya, aku ambil dulu segala benda tersebut dari tangannya.

“Biar Jo buatkan, ma,” pelawa ku. Ma mengangguk sebelum menghilang lagi sekali ke arah dapur pula.

Aku hamparkan kain alas tilam elok-elok. Tidur di luar ini ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya lebih selesa daripada tidur di dalam bilik. Bukan aje ruangnya yang luas dan udaranya tidaklah terkurung seperti dalam bilik Shah dan Yusran itu, malah aku boleh juga menonton TV kalau-kalau hendak ada tayangan larut malam. Biarpun televisyen rumah ku masih memakai televisyen lama - hitam putih yang berkaki empat ini. Kemudian kalau panas, aku boleh buka tingkap nako ini sikit. Udara segar dari luar terasa nyaman aja.

“Jo,.. tolong letak bawah kerusi ubat nyamuk ni,” teguran ma mematikan konsentrasi ku. Aku sambut salah satu pinggan berisi lingkaran ubat nyamuk yang sudah dinyalakan dari tangan ma.

“Terima kasih, ma,” ucap ku sebelum menolak pinggan ubat nyamuk ke bawah kerusi rotan berangkai tiga.

“Jo selalu buka tingkap, itulah banyak nyamuk,” terang ma apabila aku mengadu fasal nyamuk dua malam lepas tidur di sini. Ma mengambil tempat di salah satu kerusi.

“Masuk angin, sejuk sikit ma!” canda ku mengambil tempat duduk bersebelahan ma.

Hmm... lepas tu, makin sedaplah tidur kan?” usik ma. Aku senyum sembunyi rasa terpanar. Dua hari ini, ma selalu kompelin aku bangun lambat. Sembahyang Subuh pun dah nak dekat matahari naik.

Subuh gajah! usik ma.

Masa ma dan ayah dengan Yusran ke surau, aku masih berlingkar macam ular sawa dalam kain selimut. Itu pun mujur ma tak siram dengan air dari baldi, apabila mereka bertiga pulang dari surau aku masih enak tidur. Susah juga tidur kat luar ini. Satu perkara yang mula aku sedari.

“Esok Jo bangun awal, ma.” Aku menabur janji di depan ma.

“Oh, betul-betul ni? Ikut ma dengan ayah ke surau ye?” ma cepat-cepat memerangkap ku. Ketawa kuat ku terlepas tanpa ku duga. “Yus selalu buat Qiamullail, Jo,” cerita ma sedikit hal Yusran. Aku cuba meredakan ketawa. Ucapan ma serius, aku tahu.

“Kat mana?” sekadar mengambil hati ma kerana memulakan cerita fasal Yusran.

“Kadang-kadang dia ke masjid... kadang-kadang kat bilik je.”

Ooh..”

“Dia tu dah makin bagus, Jo,” puji ma kepada Yusran. Mulut ku terus tertutup. Hanya kepala aku angguk-angguk tanda setuju. Aku tahu tidak ada mana-mana bahagian ini aku boleh berhujah dengan ma. Aku jahil jika dibandingkan dengan Yusran.

“Bulan puasa, sepuluh hari terakhir Ramadhan... jam tiga pagi dia dah kayuh basikal ke masjid... solat sunat Tasbih berjemaah. Tarawih dan Witir tak pernah sekali pun dia tinggal, Jo.” Ma kian beria-ia dah bercakap hal Yusran. Aku merasai kisah dari mulut ma ini mulai mengena tepat kepada diri ku. Aku lah yang kurang celik hendak menguasai ilmu akhirat seperti mana Yusran. Biarpun aku tahu solat Tasbih yang membawa makna jumlah keseluruhan 300 tasbih yang dibaca dalam solatnya. Juga hikmat amalannya mengampuni sepuluh jenis dosa.

“Tok Ya beritahu ayah.” Ma cuba terangkan maklumat yang diperoleh dari datuk saudara ku di Kelantan. Barangkali ma juga sudah berjaya mengesani ketidakselesaan aku bila ma berbicara tentang Yusran. Lalu dia cepat-cepat menjelaskan perkara dari mulut datuk saudara aku itu. Dan bukan dari mulutnya semata-mata.

Aku tahu ma tidak pernah memuji-muji anak-anaknya di hadapan mereka semua. Kerana ma lebih suka menceritakan kepada anak-anak yang lain agar dijadikan contoh dan tauladan. Seperti aku, Zana ada beritahu ma sangat berbangga dengan diri ku kerana mampu belajar di sekolah terpilih di Seremban itu. Hampir tiap masa ma berbicara kepada adik-adik aku yang lain agar mencontohi aku. Barangkali sama juga ceritanya ketika memberitahu berkenaan Yusran tadi kepada ku. Oh, ma! Aku jadi sayu tiba-tiba dengan ma.

Ma menepuk-nepuk lengan ku, “tidurlah Jo,dah lewat ni... pagi esok betul-betul nak ikut ma dengan ayah?” duga ma. Sekali lagi muka ku terasa hangat, namun kali ini aku harus mengangguk. Ma senyum, terpancar kebahagiaan.

Aku amati ayunan langkah ma menuju ke pintu bilik. Tubuh gempal yang sudah melewati separuh abad usia itulah ibu ku. Yang mengandungkan aku; yang bersusah payah melahirkan aku; yang selama dua tahun membekalkan air susu dari badannya kepada aku tanpa sebarang rungut dan yang membesarkan aku sehingga dewasa kini. Dia ibu ku! Aku bahagia sebenarnya menjadi seorang anak ma. Biarpun kadangkala aku sering tidak bersetuju dengan sesetengah tindakan ma dan ayah. Tapi sebagai anak, aku sepatutnya menerimanya dengan rela hati.

Err... Jo?” panggil ma sebelum menolak pintu kamarnya. Mainan hati ku hilang serta-merta. Mata ku menentang pandangan mata ma.

“Petang tadi, Tini ada beritahu ma...” ma berjeda sebentar. Aku sedikit berdebar.

“Dia beritahu tak makan tengah hari.” Segaris senyuman menghiasi wajah ma. Aku terpanar.

Kemudian barulah ma menutup perlahan daun pintu kamarnya. Gelodak perasaan sendiri sudah gagal aku cari rentaknya. Ma tak perlu melanjutkan perkataannya kerana bila cerita itu diperoleh daripada Tini, isinya tidak akan ada lagi mana-mana bahagian akan tertinggal. Hanya ma sahaja memendekkan dengan satu ayat sahaja. Oh, Tini... mulutnya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan